Monday, June 4, 2007

MeNgEnALi ImAm SyAfiE'

Imam Syafie Pengasas Mazhab

Imam Syafie seorang anak yatim yang tidak sempat menikmati kasih sayang bapanya. Dalam penjagaan ibunya yang miskin, beliau dididik dengan semangat ketabahan, kesabaran dan keimanan yang kukuh. Dengan berbekalkan semangat perjuangan yang tinggi, beliau mengembara merentasi padang pasir, menempuh terik mentari dan kedinginan malam demi mencari ilmu pengetahuan.

Imam Syafie dikenali sebagai pengasas mazhab Syafie yang menjadi ikutan di beberapa negara Arab dan Asia Tenggara. Ilmunya yang luas dan sifat waraknya merupakan catatan emas dalam lembaran sejarah Islam. Beliau menganggap segala sesuatu yang terpancar daripada kalbu dan pemikirannya, merupakan milik umat untuk dinikmati bersama.


Beliau adalah Muhammad bin Idris Assyafie Almuttalibi. Nasabnya bertemu dengan nasab Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pada moyangnya Abdu Manaf. Dilahirkan di Ghaza, Palestin, beliau dibawa kembali ke perkampungan keluarganya di Makkah. Sejak kecil beliau dihantar mempelajari ilmu bahasa Arab dan sasteranya dari qailah-qabilah arab. Seterusnya mempelajari ilmu agama dari ulamak Makkah seperti syaikh beliau Al-Imam Khalid bin Muslim Azzanjy. Al-Fudhail bin 'Iyadh, Sufyan bin Uyaynah dan lainnya.

Beliau seterusnya meneruskan safar mencari ilmu di Madinah, dan belajar dengan Imam Malik sehingga menjadi pelajar terbaiknya. Kitab Al-Muwatta' Imam Malik telah dihafalnya dalam tempoh tidak lebih dari 9 hari. Beliau telah belajar dari para ulamak Makkah dan Madinah dengan baik sehingga dalam usianya 18 tahun, beliau sudah layak memberi fatwa. Pakar Bahasa Arab seperti Al-Asma'i juga banyak mengambil manfaat darinya.

Beliau seterusnya pergi ke Iraq dan mengambil faedah dari Imam Muhammad bin Al-Hasan Assyaibani murid Imam Abu Hanifah. Di sana beliau mengarang kitabnya Al-Hujjah, dan mengumpulan padanya mazhabnya yang lama (qadim). Di Iraq juga, beberapa Imam besar telah belajar dari beliau, seprti Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abi Tsaur.

Setelah itu beliau telah berpindah ke Mesir. Di sana, beliau telah mengubah pelbagai ijtihadnya dan memasyhurkan pendapatnya yang baru (mazhab/qaul jadid). Beliau juga telah menulis kitab agungnya Al-Umm dan kitab Usul Feqh pertama dalam sejarah Islam berjudul Ar-Risalah.

Imam Syafie diangkat sebagai Mujaddid kurun ke-2. Beliau telah menghimpukan ilmu antara ahli Hadis serta ahli ra'yi, menggariskan kaeda-kaedah ilmu usul feqh, selain dari ilmunya yang meluas dalam hadis, riwayat-riwayatnya, ahli-ahlinya, qur'an dan ulumnya, sejarah, syiir dan sastera, ilmu bahasa, serta wara' , taqwa lagi zuhud pada dunia. Beliau telah wafat di Kaherah pada tahun 204H.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyebut: "Imam Syafie seperti matahari bagi dunia dan penyembuh bagi badan" dan "Feqh itu terkunci pada ahli-ahlinya sehingga Allah membukanya dengan Assyafie".

Imam Abu Zur'ah pula ada menyebut: Aku tidak mengetahui seseorang yang lebih agung sumbangannya pada ahli Islam daripada As-Syafie.

Semoga Allah merahmatinya dan memanfaatkan kita dengan segala barakah, rahsia, ilmu dan cahaya beliau di dunia dan akhirat. Amiin.

Semoga liku-liku pengembaraan Imam Syafie dalam mencari dan mengembangkan ilmu pengetahuan menjadi teladan umat sepanjang zaman, insya Allah.


No comments: