Thursday, June 7, 2007

KeBeBaSaN IsLaM Di SaLaH ErTi

ISU kebebasan adalah antara isu yang hangat diperkatakan umum kerana isu kebebasan bukan saja bersifat nasional, malah ia isu sejagat. Di mana saja negara di dunia ini sering membahaskan isu kebebasan dalam konteks kemanusiaan sesuai dengan peredaran zaman semakin canggih.

Oleh itu, sering kedengaran suara yang menuntut kebebasan wanita, kebebasan akhbar, kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan tuntutan kebebasan lain demi kepentingan dan kelangsungan hidup.

Meninjau senario mutakhir umat Islam kini, ada umat Islam masih lagi keliru dengan pengertian sebenar kebebasan menurut perspektif Islam. Rata-rata umat Islam memahami kebebasan dalam erti kata boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu biarpun ia bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur.

Disebabkan itu, kita dapati umat Islam semakin lama semakin jauh meminggirkan agama Islam dan ajarannya yang suci dalam realiti kehidupan atas alasan kebebasan yang dilaungkan. Mereka bebas menerima apa saja yang datang dari Barat pada hal tidak semuanya baik dan sesuai belaka.

Ini bukan kebebasan namanya, sebaliknya ia adalah melampaui batasan kemanusiaan dan menodai fitrah semula jadi manusia yang sebenar. Di sinilah terletak peranan kerajaan dan ulama untuk menerangkan kepada masyarakat pengertian sebenar kebebasan menurut perspektif Islam.

Perlu ditegaskan isu kebebasan tidak hanya ada dalam syariat Islam, undang-undang tubuh negara turut mengiktiraf kebebasan manusia dalam kehidupan seharian. Ini menunjukkan isu kebebasan adalah isu sejagat tanpa sebarang pengecualian dan sempadan tempat serta masa.

Berbicara mengenai kebebasan menurut kaca mata Islam, sebenarnya Islam daripada awal lagi sudah menegaskan bahawa kebebasan itu selaras dengan fitrah semula jadi manusia. Bahkan, Islam tidak membenarkan unsur paksaan wujud dalam ajarannya yang suci.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Dapat disimpulkan betapa Islam tidak membenarkan paksaan berlaku dalam perkara akidah dan agama. Ini isyarat jelas bahawa Islam mengambil kira kebebasan individu dan masyarakat ramai dalam kebanyakan urusan kehidupan.

Perlu ditegaskan di sini, tiada satu pun agama di dunia yang mengambil berat isu kebebasan melainkan Islam yang mengiktiraf keperluan hidup asasi manusia di muka bumi Allah SWT. Dengan ini, Islam menonjolkan ciri keistimewaan dan keunikannya yang mampu memancarkan sinar kesejahteraan serta kebahagiaan.

Islam memperakui kebebasan individu, kebebasan masyarakat, kebebasan bernegara, kebebasan pendapat, kebebasan pemilikan sebagai pecahan kecil daripada kebebasan lebih asasi iaitu kebebasan beragama atau kebebasan berakidah.

Dalam bab kebebasan beragama, Islam memerintahkan umatnya supaya melaksanakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Tidak ada sama sekali unsur paksaan dalam dakwah Islam seperti didakwa orientalis Barat dan musuh Islam. Mereka memandang serong dan negatif terhadap Islam sehingga mereka memutar belitkan fakta mengenai Islam.

Justeru, umat Islam diminta berwaspada terhadap pemikiran beracun yang dicanangkan musuh Islam dan menyusun langkah berencana serta perancangan rapi bagi menyebarkan rahmat Islam ke seluruh pelusuk bumi.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna seorang Muslim bebas bertukar agama tanpa sebarang had. Islam menganggap apabila seseorang dengan rela hati mengucapkan dua kalimah syahadah sebagai satu perjanjian termeteri antara seseorang hamba dengan Tuhannya, ikrar itu wajib dikota dan dipelihara sepanjang masa.

Sesiapa murtad atau keluar daripada Islam, dia sudah melanggar perjanjian itu dan wajarlah Allah mengenakan hukuman keras terhadap orang yang murtad itu.

Kebebasan bersuara juga adalah isu yang menjadi perhatian umum. Yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara ialah kebebasan menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan membina kepada pihak bertanggungjawab.

Termasuk juga kebebasan akhbar menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat umum. Namun begitu, kebebasan itu masih terikat dengan garis panduan syarak iaitu berada di atas landasan amar makruf dan nahi mungkar.

Pada ketika itu, Islam memerintahkan umatnya supaya menyatakan kebenaran Islam sebagaimana dapat difahami daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa ada melihat kemungkaran di hadapan kamu maka hendaklah kamu mengubah dan mencegahnya dengan tangan kamu (dengan kuasa yang ada pada kamu), jika kamu tidak mampu (dengan tangan kamu) maka hendaklah kamu ubah dengan lidah. Jika kamu masih lagi tidak mampu, maka hendaklah kamu ubah dengan hati. Itu adalah selemah iman.” (Hadis riwayat Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Kisah pidato perdana Saidina Abu Bakar al-Siddiq masih segar dalam lipatan sejarah sebaik saja beliau diangkat sebagai khalifah pertama dengan berkata: “Wahai manusia! Aku telah dipilih untuk memimpin kamu padahal aku bukanlah orang yang paling baik daripada kalangan kamu. Jika aku melakukan perkara yang betul maka hendaklah kamu semua membantuku dan jika aku melakukan penyelewengan maka hendaklah kamu memperbetulkan aku.”

Dapat disimpulkan, Saidina Abu Bakar menyedari memberikan rakyat jelata hak bersuara untuk memberikan pandangan dan kritikan kepada kepemimpinan beliau. Walaupun tempoh kepemimpinan Abu Bakar agak singkat, namun zaman beliau berjaya meneruskan kesinambungan era kecemerlangan Islam yang diasaskan Rasulullah SAW.

Di samping itu, Islam juga menegaskan bahawa setiap Muslim berkewajipan mempertahankan maruah dan hak masing-masing berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan maruahnya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya adalah syahid.” (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi)

Ulama terkenal Syeikh al-Mutawalli al-Sya’rawi menegaskan, kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud pada setiap insan. Malah, kebebasan itu sebenarnya bersifat relatif iaitu dengan maksud ia tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bercanggah dengan ajaran agama.

Tambah beliau, kebebasan yang bersifat relatif akan memberi peluang kepada seseorang melakukan apa saja asalkan tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bertentangan dengan ajaran agama.

Sebaliknya, jika ada gangguan dan bercanggah dengan agama, sudah tentu masyarakat ramai akan bertindak menegah perbuatan yang melampaui batas itu.

Menurut Syeikh al-Sya’rawi, satu cara untuk seseorang memiliki kebebasan sepenuhnya ialah dengan memencilkan dirinya daripada orang ramai dan hidup bersendirian. Ketika itu, orang ramai tidak akan mengganggunya dan setiap perbuatannya tidak akan ditegah dan juga tidak akan dilihat. Maka dengan itu, kamu akan bebas melakukan apa saja yang kamu sukai.

Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam kamus kehidupan umat manusia sejagat kerana keharmonian dan kesejahteraan hidup tidak akan wujud jika keadaan masyarakat tidak bersistem dan mengikut peraturan serta undang-undang.

Terserlah bahawa Islam adalah cara hidup yang menyediakan panduan lengkap bagi mengatur kehidupan manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat.

No comments: