Tuesday, June 19, 2007

Kes Perbicaraan Altantuya

PERBICARAAN PERTAMA:

PEGUAM NEGARA: Tan Sri Abdul Ghani Patail mengarahkan pihak pendakwaraya kes pembunuhan model warga Monggolia Altantuya mencampakkan patung gadis tersebut yang ditempah khas pasukan pendakwaraya. Patung tersebut ditempah khas untuk di bawa ke mahkamah yang bermula semalam. Berikutan arahan AG itu, patung tersebut tidak jadi di bawa ke mahkamah.

Menurut sumber klpos.com, patung itu bagi membolehkan pihak pendakwaraya menunjukkan di manakah tiga butir bom diletak di mayat Altantuya sebelum diletupkan.

"Kami kecewa selepas bertungkus lumus membuat mencari patung yang sesuai, dari segi ukuran saiz tubuh Altantuya, Tan Sri Ghani menghalang patung itu di bawa ke mahkamah," katanya.

Ditanya mengapa Tan Sri Ghani menghalang patung tersebut di bawa ke mahkamah, kata sumber kami, ia bagi mengelakkan kontroversi seperti kejadian yang timbul satu masa dulu.

"AG tidak mahu episod tilam 'Anwar Ibrahim' berulang," katanya.

Dalam perkembangan yang lain, sumber kami turut memaklumkan bahawa bekas pendakwaraya kes Altantuya, Sallehuddin Saidin bermain badminton dengan hakim Mohd Zaki pada Januari tahun ini.

"Kes bulan Jun, tidak ada kena mengena, Sallehuddin dipecat pada pagi 4 Jun," kata sumber itu.

Menurutnya, Sallehuddin pada 4 Jun lalu telah bersiap sedia dengan beg dan bahan kes di mahkamah tinggi Shah Alam, tetapi beliau kemudiannya menerima panggilan telefon dan beliau tidak dibenarkan masuk lagi ke mahkamah.

"Sallehuddin kini bercuti untuk menenangkan diri selepas malu ekoran dakwaan AG beliau digugurkan kerana main badminton dengan hakim," kata sumber kami


PERBICARAAN KEDUA:

Razak ketawa hari ini ketika mahkamah berhenti rehat sementar tadi...


"ANAK haram sila keluar..." itulah laungan terakhir model Monggolia Altantuya di rumah Penganalisis Politik Abdul Razak Baginda sebelum dibawa pergi oleh anggota polis. Kenyataan itu diperolehi dari kenyataan saksi pertama pendakwaraya P. Subramaniam, 47, seorang pegawai penyiasat persendirian yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi. Menurutnya, tertuduh Razak Baginda ada memberitahu beliau yang dia bimbang dengan kehadiran Altantuya menganggu di rumah keluarganya. Saksi kemudiannya mencadangkan kepada tertuduh supaya membuat laporan polis, tetapi tertuduh enggan kerana kata beliau, "orangnya akan datang". Lapor wartawan klpos.com terus dari Mahkamah Tinggi

----------------------------
Sementara itu, SEMALAM, di Mahkamah Tinggi diberitahu penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda mengupah seorang penyiasat persendirian untuk menghalang seorang wanita Mongolia yang mati dibunuh tahun lepas, daripada berjumpa dengannya setelah wanita itu didakwa mengugut meminta wang.

P. Subramaniam, 47, yang dipanggil sebagai saksi pertama pendakwaan kes pembunuhan itu berkata arahan itu diberikan tertuduh, Abdul Razak, pada 6 atau 7 Okt tahun lepas, setelah seseorang yang dikenali sebagai Magen menghubungi dan mengarahkannya pergi ke pejabatnya di bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Katanya dalam pertemuan selama lebih satu jam dengan Abdul Razak di bilik mesyuarat pejabatnya, dia diberitahu bahawa Abdul Razak diugut oleh seorang wanita Mongolia tetapi pada ketika itu dia menasihati Abdul Razak supaya melaporkannya kepada polis.

Abdul Razak enggan menerima nasihat tersebut sebaliknya menyatakan bahawa dia mempunyai peguam sekiranya memerlukan sebarang nasihat. Abdul Razak terus mengupahnya dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM4,000 untuk satu pakej iaitu sehingga wanita terbabit pulang ke Mongolia.

"Tugas saya ialah menunggu di lobi pejabat tertuduh bermula dari tertuduh bertolak ke pejabat sehingga dia balik ke rumah iaitu pada pukul 5.30 petang. Tapi saya tak tahu bila dia (wanita Mongolia) akan tiba ke Malaysia.

"Saya ada tanya kenapa dia diugut tetapi tertuduh tidak memberitahu hal-hal peribadinya dan maklumat lain mengenai wanita itu," kata Subramaniam yang pernah berkhidmat selama 19 tahun sebagai anggota polis semasa ditanya dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Saksi itu berkata Abdul Razak turut memberitahunya bahawa mengikut suara, pengugut adalah seorang lelaki berbangsa Cina.

Subramaniam yang memberi keterangan dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah memberitahu bahawa pada keesokan harinya, dia memulakan tugas dengan mengekori anak Abdul Razak yang turut menerima ugutan lelaki Cina terbabit, hingga ke sekolahnya di Damansara, sebelum menjalankan tugas untuk menunggu di bangunan pejabat tertuduh pula.

Ditanya adakah dia perlu mengekori anak perempuan Abdul Razak itu, Subramaniam berkata: "Sebab ugutan yang diterima turut membabitkan anaknya itu."

Subramaniam memberitahu pada hari Isnin, iaitu awal Oktober 2006, dia menerima panggilan daripada tertuduh yang memberitahunya bahawa wanita Mongolia yang dimaksudkan tertuduh telah berada di hadapan pejabatnya.

"Saya telah diminta pergi segera ke sana. Waktu itu antara pukul 9 hingga 10.30 pagi dan saya berada di Plaza Pekeliling. Saya minta pembantu saya, Suras Kumar pergi dahulu ke pejabat tertuduh kerana dia menaiki motosikal dan lebih laju.

"Saya tiba kira-kira lima minit selepas Suras sampai. Kemudian saya naik ke tingkat 10 dan diberitahu oleh penyambut tetamu, Siti Aishah, bahawa tiga wanita dan seorang lelaki telah turun (dengan lif) ke bawah," katanya.

Subramaniam berkata seorang lelaki Cina yang menaiki kereta Honda bersama wanita tersebut dilihat berdiri di luar pagar pejabat sambil memerhatikan pejabat tertuduh.

"Saya fikir mereka akan berjumpa dengan tertuduh jadi saya hubungi tertuduh dan menyuruhnya keluar mengikut pintu belakang, kemudian saya panggil polis sebab mereka lama tunggu di situ," katanya.

Dua anggota polis kemudian tiba ke lobi pejabat dan dilihat menghampiri serta bercakap dengan ketiga-tiga wanita itu, kata saksi itu lagi.

"Polis beritahu saya salah seorang wanita itu bernama Aminah dan polis tunjukkan kepada saya yang mana satu (Aminah). Katanya dia menunggu untuk berjumpa suaminya yang bekerja di bangunan itu, tapi saya tidak ingat nama suaminya.

"Saya juga tidak pasti berapa lama mereka di situ kerana selepas saya diberitahu bahawa tertuduh telah meninggalkan pejabat, saya dan Suras pun beredar," kata Subramaniam. Bernama




No comments: