Saturday, May 19, 2007

INgat Mati SumBer KekuataN iMaN



Bagi Muslim yang ingin hidup diredai Allah, Rasulullah SAW menyarankan supaya selalu ingat kepada mati kerana orang yang selalu ingat mati pasti menjemputnya, Rasulullah SAW menganggap orang itu orang yang terkaya.

Ibn Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Siapakah Mukmin utama? Jawab Nabi SAW: Yang terbaik budi akhlaknya. Dan Mukmin yang manakah yang terkaya? Jawab baginda: Yang banyak ingat mati, dan baik pula persediaannya.”

Sesungguhnya insan yang sering kali dalam hidupnya ingat terhadap mati, sudah tentu kalbunya dipenuhi bunga keinsafan yang akan mendorongnya untuk :

  • tidak bersikap sombong
  • selalu bertawaduk
  • segala gerak dijadikan ibadat
  • lidahnya tetap basah dengan zikrullah baik malam atau siang

Lalu terbinalah sebuah akhlak insan terpuji dan dihormati.

Abu Hamid Allafaf pernah berkata: “Siapa yang sering ingat mati, maka dimuliakan dengan tiga macam iaitu: segera bertaubat, terima terhadap rezeki (tidak tamak) atau qanaah dan tangkas beribadat.” (Kitab Tanbihul Ghafilin)

Ingat kepada mati, menjadikan seseorang itu akan segera bertaubat kerana mati itu rahsia Allah. Tidak ada seorang yang tahu bila dan di mana dia akan mati.

Ia dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan dilakukan esok hari, sebagaimana tiada seorang pun yang mengetahui di manakah ia akan mati.” (Surah Luqman, ayat 34)

Jika tidak segera bertaubat (bertangguh tunggu esok, lusa, bulan depan atau nanti sudah tua) maka dikhuatiri matinya sebelum sempat bertaubat. Segera bertaubat sebenarnya wajib dan dituntut agama.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Orang yang ingat mati, juga sedar hidup di dunia persinggahan sebentar dan akhirat tempat yang abadi. Rasulullah bersabda: “Hendaklah engkau berada di dalam dunia seolah-olahnya engkau seorang yang berdagang atau pengembara yang sedang dalam perjalanan.” (Hadis riwaat Ibn Umar)

Lantaran itu, dia tidak memerlukan rezeki melebihi keperluan hidupnya. Jika bekerja mencari rezeki, tidak sampai bersikap tamak haloba dan langsung lupa kepada Allah.

Ingat mati mendorong kita sentiasa mempertingkat amal ibadat, sama ada yang fardu mahupun sunat. Perhambaan diri kepada Allah dengan penuh ikhlas dan cinta yang suci serta istiqamah.

Di samping itu, seseorang yang menyedari bahawa mati adalah suatu yang pasti, akan sentiasa berusaha sedaya upaya menjauhkan diri daripada melakukan dosa atau perkara dilarang Allah SWT. Dia takut kepada azab yang Allah sediakan di akhirat nanti untuk orang berdosa.

Kita sewajarnya ingat benar-benar akan pesan Rasulullah SAW: “Banyak-banyaklah kamu mengingati kejadian yang akan menghancurkan segala kelazatan iaitu maut (mati).” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Apabila tidak lupa kepada mati, maka kesannya sungguh baik. Akhlaknya terpuji, ibadatnya bermutu dan istimewanya menjadi hamba sangat disayangi dan diredai Allah.

Maka dengan ini marilah kita muhasabah diri sejauh manakah keimanan kita terhadap ALLAH dan rasulNYA.Untuk menyuburkan lagi keimanan kita banyakkan mengingati mati kerana dengan ini kita dapat meraih dan meningkatkan mutu keimanan demi untuk kebaikan bersama bagi menjamin keselamatan di dunia seterusnya akhirat.

No comments: