Wednesday, July 4, 2007

Tuan Guru Masuk Hospital

Tuanguru Nik Aziz Masuk Hospital


Kelmarin, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah mengalami masalah jantung dan darah tinggi, kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini kerana keletihan.

Seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar itu berkata Mursyidul Am PAS itu dimasukkan ke HUSM sejak petang Sabtu lepas selepas mengadu penat.

“Tok Guru (Nik Aziz) mengadu penat selepas terpaksa menghadiri banyak tugasan rasminya sebelum itu dan tidak cukup rehat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ini adalah kali keempat Nik Aziz, 75, dilaporkan menerima rawatan di hospital selepas mendapat serangan jantung pada akhir 2004.

Selain mengalami masalah jantung, beliau juga pernah dirawat kerana gastrik.

Pegawai itu bagaimanapun berkata rakyat tidak perlu bimbang dengan keadaan Tok Guru kerana kesihatannya semakin baik dan perlu mendapat rehat yang secukupnya.

Sementara itu pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri, Abdul Patah Mahmood ketika ditemui selepas mewakili Nik Aziz merasmikan Seminar Saidatina Khadijah Al-Khuwailid di sini mengakui Menteri Besar itu sebelum ini nampak begitu letih.

“Disebabkan terlalu banyak menghadiri tugasan menyebabkan Tok Guru tidak sempat untuk menjamah makanan terlebih dahulu dan kemungkinan itu faktornya (dimasukkan ke hospital),” katanya.

Sambil mengingatkan penganjur agar tidak mengabaikan aspek kesihatan Nik Aziz sebelum merasmikan program yang dianjurkan mereka, Abdul Patah berkata: “Kadang-kadang penganjur lupa untuk bertanya sama ada Tok Guru sudah makan atau belum dan perkara ini amat dikesali,” katanya. BERNAMA

Sama-sama kita doakan semoga ALLAH memberi kesihatan kepada tuan guru seperti mana sebelum nie,dan dapat meneruskan siri-siri pengajian harian dan mingguan.


No comments: