Saturday, July 7, 2007

Kisah Teladan


Pada suatu hari sepasang suami isteri sedang makan bersama di rumahnya. Tiba-tiba pintu rumahnya diketuk seorang pengemis. Melihat keadaan si pengemis itu, si isteri merasa terharu dan dia bermaksud hendak memberikan sesuatu. Tetapi sebelumnya, sebagai seorang wanita yang solehah dan patuh pada kepada suaminya, dia meminta izin terlebih dahulu daripada suaminya,

"Wahai suamiku, bolehkah aku memberi makanan kepada pengemis itu?"

Rupanya suaminya memiliki karakter yang berbeza dengan wanita itu. Dengan suara lantang dan kasar menjawab,

"Tidak payah! Usir saja dia, dan tutup kembali pintunya!" Si wanita terpaksa tidak memberikan apa-apa kepada pengemis tadi sehingga dia berlalu dan kecewa.

Pada suatu masa perdagangan lelaki ini jatuh bangkrap. Kekayaannya habis dan ia menderita kerana banyak hutang. Selain itu, kerana tidak sehaluan sifat dengan isterinya, rumah tangganya menjadi retak sehingga terjadilah perceraian. Tak lama sesudah habis masa iddahnya bekas isteri lelaki yang bangkrap itu menikah lagi dengan seorang pedagang di kota dan hidup bahagia.

Pada suatu hari ketika wanita itu sedang makan dengan suaminya (yang baru), tiba-tiba ia mendengar pintu rumahnya diketuk orang. Setelah pintunya dibuka ternyata tamu tak diundang itu adalah seorang pengemis yang sangat mengharukan hati wanita itu. Maka wanita itu berkata kepada suaminya,

"Wahai suamiku, bolehkah aku memberikan sesuatu kepada pengemis ini?" Suaminya menjawab, "Berikan makan kepada pengemis itu!".

Setelah memberi makanan kepada pengemis itu isterinya masuk ke dalam rumah sambil menangis. Suaminya dengan perasaan hairan bertanya kepadanya,

"Mengapa engkau menangis? Apakah engkau menangis kerana aku menyuruhmu memberikan daging ayam kepada pengemis itu?". Wanita itu menggeleng kepalanya, lalu berkata dengan nada sedih,

"Wahai suamiku, aku sedih dengan perjalanan takdir yang sungguh menakjubkan hatiku. Tahukah engkau siapa pengemis yang ada di luar itu? Dia adalah suamiku yang pertama dulu". Mendengar keterangan isterinya demikian, sang suami sedikit terkejut, tapi segera ia bertanya kembali,

"Dan engkau, tahukah engkau siapa aku yang kini menjadi suamimu ini? Aku adalah pengemis yang dulu diusirnya!".

Moral Story:
Di dunia ini tidak ada yang abadi, dunia bagaikan roda berputar , ada kalanya di atas ada kalanya juga di bawah, jadi jikalau berada di atas jangan sombong dan takabur, memandang rendah orang lain yang nasibnya tidak beruntung kerana bisa saja nasib berubah dan kita yang dulunya berpunya dan berkuasa kini harus merangkak di bawah.

Buat yang berada di bawah pun harus tetapkan semangat, jangan cuma mengeluh pasrah kerana Tuhan tidak akan merubah keadaan umatNya jika mereka sendiri tidak mahu berubah.



No comments: